May 21, 2008


Sesungguhnya suasana ukhuwah atau semangat persaudaraan Ikhwanul Muslimin yang telah dinikmati oleh anggotanya adalah seumpama air dengan ikan. Sekiranya ada di kalangan mereka yang menghadapi kesulitan, kelekaan, kelesuan, kealpaan atau mengikut pujukan syaitan tidak akan dibiarkan begitu sahaja supaya tidak hanyut dalam suasana sedemikian yang terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan.

Muslim yang mempunyai sahabat yang baik tidak akan mengajak atau membiarkan mereka melakukan kehancuran tetapi akan memberi peringatan, menolongnya melawan godaan syaitan dan nafsu. Ini merupakan suatu bekalan yang besar sepanjang jalinan persahabatan.

Sesungguhnya sahabat yang baik adalah orang yang sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan. Salah seorang Assalafuddin pernah berkata: “Laksanakanlah nasihat itu dengan cara apa pun iaitu dengan cara yang paling baik dan dan terimalah dengan apa cara yang baik. Sekiranya sahabat itu menegur kamu secara rahsia maka dia telah membaiki dan menghiasinya tetapi sekiranya dia menegur secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai maka dia telah memalukan dan mengkhianati sahabatnya. Persahabatan yang baik menambahkan lagi kebahagiaan yang dikecapinya kerana penglibatan saudara-saudaranya bersama-sama di dalam kegembiraan itu akan dapat meringankan kepenatan dan kesesuaian semasa ia ditimpa bahaya dan bencana. Ini merupa-kan pembantu dan bekalan sepanjang jalan. Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud : “Tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa dan permusuhan”

Jelaslah, arahan ini bukanlah ditujukan kepada individu semata-mata tetapi ditujukan khasnya kepada umum. Namun persahabatan yang baik dan kukuh adalah wajib dan lazim untuk orang-orang yang berjalan di atas jalan Allah SWT.

Alangkah besarnya bekalan yang akan didapati oleh seseorang dalam persahabatan yang baik dan harmonis, berkasih-kasihan di jalan Allah untuk mendapat keredhaan dan kesempurnaan-Nya serta ganjaran baik dari-Nya lantaran perasaan cinta kepada Allah SWT, pandang-memandang sesama mereka penuh erti cinta yang ikhlas kerana Allah SWT, berjabat tangan kerana Allah dengan disulami senyum simpul terhias di wajah, saling ziarah-menziarahi, wasiat-mewasiati serta ingat-mengingati ke arah kebaikan. Rasulullah SAW pernah bersabda, mafhumnya :

“Tujuh golongan yang akan di-naungi Allah di hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan Allah yang satu. Salah satu dari-padanya ialah dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, kedua-duanya bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.”

Allah SWT amat mencintai orang yang mencintai sahabatnya. Oleh kerana pentingnya persahabatan yang itu dengan segala kebaikan dan faedah yang lahir daripadanya terhadap Islam dan umatnya maka kita dapati Islam serta syariatnya memelihara nilai-nilai persahabatan, mengawal dari dari segala perkara yang merosakkan perpaduan serta mengharamkan daripada perkara-perkara yang membawa kepada sifat dengki, benci, menipu, berlaku curang, khianat, mengejek, bersangka buruk mencari kesalahan orang lain, memutuskan hubungan, hipokrit dan saling berpaling tadah (tidak setia).

Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud : Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, saling berpaling tadah, saling benci-membenci dan saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidak halal bagi seseorang muslim yang berpaling dari saudaranya melebihi dari tiga hari”.


Alangkah bahagianya kita dengan nikmat persaudaraan kerana Allah dan perlu kita memelihara nya dengan segala kemampuan dan cara yang ada.
Oleh itu wahai saudaraku ! Carilah sahabat yang soleh, bersahabatlah dengan persahabatan yang baik kerana ia merupakan penolong dan bekalan sepanjang jalan.

“Sahabat yang baik adalah lebih mahal dari segunung emas permata. Oleh itu apabila kamu berdo’a janganlah kamu minta segunung emas permata tetapi mintalah dari tuhanmu sahabat yang soleh”.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Part Of Memoirs Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting